
Sukan merupakan satu
aktiviti riadah yang paling sesuai dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat
di negara ini. Antara jenis sukan itu terdiri daripada bola sepak, acara
larian, badminton, hoki, dan bola tampar yang menjadi sukan utama kepada rakyat
Malaysia. Media massa juga sering
mempaparkan program siaran langsung
acara sukan di televisyen yang menarik
perhatian masyarakat untuk ditonton. Sebenarnya, sukan ini membawa banyak
faedah kepada individu, masyarakat, negara dan pelajar secara khususnya secara
tersirat. Impak positif penglibatan sukan kepada pelajar akan membuatkan diri mereka akan berasa puas dapat melakukan
sesuatu aktiviti tersebut. Kepuasan ini mampu
tercapai kerana sebarang aktiviti sukan itu memerlukan tumpuan serta
tenaga yang banyak, lalu menjadikan pelajar
tersebut menikmati suasana kehidupan yang bermakna selepas selesai
melakukan sukan yang dimainkan. Lama-kelamaan kepuasaan ini membawa keyakinan
kepada pelajar,serta keyakinan menjadi
lebih tinggi sehingga mampu menyelesaikan pelbagai cabaran harian dengan mudah.
Ringkasnya, aktiviti sukan mampu untuk
membawa kehidupan pelajar itu lebih bermatlamat dan fokus untuk
meneruskan rutin harian mereka.

Objektif kegiatan sukan kepada pelajar bertujuan,
membolehkan para pelajar menjalankan program-program latihan yang sistematik
dan terkawal, agar pelajar sentiasa dalam keadaan bersedia secara mental dan
fizikal dalam setiap pertandingan dan perlawanan yang mereka sertai. Selaras
dengan itu, dengan wujudnya sukan akan
dapat meningkatkan minat dan semangat para pelajar untuk bergerak bebas serta
cergas dalam kegiatan sukan dan permainan di samping dapat mencegah budaya
negatif atau yang tidak berfaedah di kalangan remaja pada hari ini. Dengan
wujudnya sukan kepada pelajar, Negara akan dapat melahirkan pelajar yang sihat
di setiap peringkat umur dan sentiasa berdaya saing dalam aktiviti sukan dan
permainan di semua pertandingan peringkat umur seperti pertandingan peringkat
domestik serta antarabangsa.
Sungguhpun demikan,
kegiatan sukan dalam kalangan pelajar dapat melahirkan pelajar yang berdisiplin
serta menepati masa seperti menghadiri kelas atau latihan sukan. Peranan
sukan dapat membuat pelajar mengamati
setiap peraturan yang sedia ada dengan baik. Jika dilihat dari sudut lain,
peranan sukan mampu untuk membentuk pelajar yang sentiasa ingin menyumbang
kecemerlangan kepada sekolah atupun istitut pengajian dengan menerusi kejayaan
dalam pertandingan atau kejohanan yang mereka sertai, di samping menjaga nama
baik institusi pendidikan melalui amalan sahsiah dan disiplin yang unggul
sepanjang pertandingan yang mereka sertai. Namun, untuk mencapai pencapaian
sehingga ke tahap antarbangsa, orang ramai perlu memberikan peranan yang tinggi
terutama sekali ibu bapa. Supaya istilah sukan bukan hanya disebut-sebut
semata, tetapi dilakukan dengan jayanya.

Antara peranan yang
perlu dimainkan ibu bapa adalah dengan memberikan galakan dengan cara
membelikan anak-anak mereka peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki
peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat
untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah membelikan anak-anak
mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan permainan yang diceburi
oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash dan tenis. Oleh hal yang
demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya peralatan yang sesuai
dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka diharapkan dapat melakar kemenangan
dan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan negara.
Ibu bapa juga perlu
menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang sukan dengan aktif.
Ibu bapa boleh menasihati atau membuat jadual bersukan kepada anak-anak supaya
memperuntukkan masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan
permainan. Hal ini demikian kerana, aktiviti sukan akan menyihatkan dan
mencergaskan badan. Di samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam
sukan dan permainan tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk
mencipta kejayaan yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk
dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara
di persada dunia.

Lain daripada itu, ibu bapa hendaklah memberikan
sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau
permainan tersebut dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih
bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut. Mereka juga boleh
menemani anak-anak dan menyaksikan anak-anak mereka berlatih atau bertanding
dalam sesuatu acara sukan atau permainan. Sudah tentulah perkara ini akan
memberikan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak dalam usaha untuk
mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu, tinggi gunung, tinggi lagi harapan
kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih yakin untuk mencipta kemenangan pada
peringkat yang lebih tinggi lagi.


Ibu bapa perlulah
membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh mereka. Hal ini
demikian kerana, anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam
bidang sukan dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau
perkembangan terkini dalam bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan
tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan
dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta
motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.
Kesimpulannya, semua kebaikan sukan tadi memang boleh terserlah apabila sukan dimajukan dengan sebaik mungkin. Semua pihak terutama ibu bapa perlulah memberikan sokongan apabila anak mereka ingin terlibat dalam sesuatu acara sukan itu. Tanpa disedari sukan itu boleh menghasilkan pelbagai kebaikan yang berguna untuk individu, masyarakat, dan negara. Slogan majulah sukan untuk negara harus dipegang oleh setiap lapisan insan Malaysia jika kita mahu acara sukan ini terus mendat tempat dalam jiwa rakyat.